MAKAN BERPADA, PERUT TERJAGA SEMASA MUSIM PERAYAAN


Musim perayaan adalah sebuah tempoh kemaafan dan kegembiraan di mana apabila keluarga dan sanak saudara akan berkumpul semula untuk beraya bersama-sama di kampung dan rumah terbuka akan diadakan dengan pelbagai hidangan perayaan yang menyelerakan. Di setiap rumah, hidangan tradisional kegemaran umum seperti rendang, lemang, kuah kacang dan kuih raya akan dinikmati selama beberapa hari berturut-turut dan selalunya dalam saiz hidangan yang lebih besar daripada biasa.

Walaupun amalan menziarah dan rumah terbuka merupakan inti pati di musim perayaan, pengambilan hidangan berat yang berulang dalam jangka masa pendek boleh memberi tekanan yang ketara pada sistem penghadaman bahagian atas. Dispepsia, yang biasanya dikenali sebagai ketidakhadaman menjejaskan di antara 15 hingga 25 peratus rakyat Malaysia, menjadikannya salah satu aduan gastrousus yang paling kerap dialami oleh rakyat di seluruh negara.

Memahami Dispepsia

Dispepsia merujuk kepada sekumpulan gejala gastrousus atas yang bermula dari perut atau usus kecil proksimal. Ia mungkin berlaku tanpa sebarang keabnormalan struktur, yang dikenali sebagai dispepsia berfungsi, atau bersama-sama dengan penyakit lain seperti gastritis, penyakit ulser peptik atau penyakit refluks gastroesofagus. Pesakit biasanya mengalami kembung di bahagian atas perut, rasa kenyang awal, rasa pedih atau ketidakselesaan di bahagian atas perut akibat asid, loya serta sendawa berlebihan.

Menurut Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Deborah Chew Chia Hsin, simpton sedemikian selalunya berpunca akibat perubahan cara perut berfungsi, dan bukannya disebabkan kerosakan fizikal yang boleh dilihat.

“Perut akan menghasilkan asid yang berterusan untuk mencerna makanan. Apabila pengosongan gastrik menjadi perlahan, atau apabila perut menjadi terlalu sensitif terhadap regangan normal selepas makan, pesakit mungkin mengalami ketidakselesaan walaupun ujian imbasan atau endoskopi tidak menunjukkan sebarang keabnormalan yang jelas,” jelas beliau.

Tempoh perayaan juga sering menunjukkan peningkatan aduan pesakit mengenai gejala ketidakselesaan di bahagian atas perut. “Semasa musim perayaan, saya sering melihat peningkatan yang ketara pada pesakit yang mengalami masalah gastrik,” ujar Dr Deborah. “Ramai yang mengaitkannya dengan makan berlebihan, namun simptom yang berterusan atau berulang mungkin menandakan adanya keadaan kesihatan lain yang memerlukan pemeriksaan lanjut.”

Individu tertentu lebih terdedah untuk mendapat dyspepsia terutamanya semasa musim perayaan. Ini termasuk mereka yang mempunyai dispepsia berfungsi, masalah gastrik atau penyakit refluks. Pesakit diabetes juga berisiko lebih tinggi untuk mendapat dyspepsia disebabkan oleh pengosongan gastrik yang perlahan, manakala individu yang mempunyai masalah kegelisahan (anxiety) sedia ada mungkin mengalami persepsi ketidakselesaan gastrik yang lebih ketara. "Apabila sensitiviti sedia ada sudah wujud, pengambilan makanan berat secara berulang boleh memburukkan lagi simptom secara signifikan," tambah Dr Deborah.

Bagaimana Juadah Perayaan Boleh Menyebabkan Masalah Ketidakhadaman?

Pengambilan hidangan berat secara berulang dalam tempoh yang singkat memberikan tekanan terkumpul kepada perut, terutamanya apabila hidangan tersebut tinggi dengan kandungan lemak.

“Lemak adalah salah satu perencat fisiologi yang paling kuat untuk pengosongan gastrik,” jelas Dr Deborah. “Hidangan berasaskan santan seperti rendang akan memanjangkan masa makanan berada di dalam perut dan boleh membawa kepada rasa kembung dan kenyang yang melampau.”

Jumlah hidangan yang besar meningkatkan lagi tekanan intragastrik kerana perut perlu mengembang untuk menampung makanan. Apabila pengosongan perut menjadi perlahan, rasa kenyang akan bertahan lebih lama daripada biasa lalu mengakibatkan rasa kembung yang berlarutan dan ketidakselesaan perut. Gabungan pengambilan lemak tinggi dan jumlah makanan yang banyak serta berulang menyukarkan perut untuk pulih sepenuhnya di antara waktu makan.

Pencuci mulut yang manis dan minuman bergula turut menambah beban kepada sistem penghadaman dengan meningkatkan beban osmotik, manakala minuman berkarbonat menghasilkan gas berlebihan yang boleh menyebabkan perut semakin kembung. Hidangan ini juga boleh meningkatkan ketidakselesaan, terutamanya bagi individu yang mempunyai perut sensitif. Makanan pedas mengandungi sebatian seperti capsaicin, yang mengaktifkan reseptor yang bertanggungjawab untuk mengesan rasa panas dan sakit. Bagi individu yang sihat, rasa pedas yang sedikit biasanya tidak akan menimbulkan masalah ketara. Namun, bagi mereka yang mengalami masalah seperti dispepsia fungsional, gastrik, asid refluks, atau hipersensitiviti viseral umum, reseptor ini akan menjadi lebih reaktif.

“Sensitiviti yang meningkat ini bermakna jumlah asid atau regangan perut yang normal juga boleh dianggap sebagai rasa sakit, pedih, atau tidak selesa,” kata Dr Deborah. Apa yang penting, makanan pedas biasanya tidak merosakkan lapisan perut, tetapi ia boleh meningkatkan simptom bagi mereka yang lebih mudah terdedah kepada sensitiviti gastrik. Semasa musim perayaan, apabila makanan pedas digabungkan dengan hidangan berlemak dan diambil dalam jumlah yang besar, beban gastrik akan meningkat dan menjadikan simptom lebih ketara.

Satu lagi faktor biasa yang membuatkan masalah ketidakhadaman bertambah teruk adalah kurang bergerak atau berbaring sejurus selepas makan. “Berbaring selepas makan hidangan perayaan yang besar boleh melambatkan penghadaman dan meningkatkan refluks kandungan perut ke dalam esofagus lalu membuatkan rasa pedih, kembung, dan ketidakselesaan,” ulas Dr Deborah. Oleh itu, orang ramai disyorkan untuk menunggu sekurang-kurangnya 2 hingga 3 jam selepas makan sebelum berbaring atau tidur bagi membolehkan perut dikosongkan dengan secukupnya.

“Kesan-kesan ini bersifat terkumpul,” tambah Dr Deborah. “Satu hidangan berat mungkin tidak menimbulkan ketidakselesaan yang ketara, tetapi pengambilan secara berulang disertai tabiat selepas makan yang kurang sihat selama beberapa hari boleh membebankan fungsi gastrik normal.”

Kaedah Rawatan dan Pengurusan Masalah Ketidakhadaman

Walaupun masalah ketidakhadaman semasa musim perayaan selalunya bersifat sementara dan tidak berpanjangan, adalah penting untuk orang ramai tahu membezakan simptom masalah ketidakhadaman yang biasa dan simptom yang memerlukan perhatian perubatan. Masalah ketidakhadaman yang biasa lazimnya akan reda dalam masa beberapa jam selepas makan atau melalui penukaran pemakanan.

Namun, simptom yang berlarutan melebihi dua hingga tiga minggu, semakin teruk, atau disertai tanda amaran lain seperti penurunan berat badan tanpa sebab, anemia, najis berwarna hitam, muntah yang berterusan, atau kesukaran menelan yang semakin teruk memerlukan penilaian perubatan secepat mungkin.

Menurut Dr Deborah, penilaian biasanya bermula dengan pemeriksaan klinikal dan mungkin melibatkan ujian darah, ujian Helicobacter pylori yang merupakan sejenis ujian darah yang dilakukan untuk mengesan jangkitan bakteria di dalam perut dan usus kecil yang boleh menyebabkan ulser, gastrik kronik dan sakit perut), serta ujian endoskopi bahagian atas jika diperlukan.

Dalam kes tertentu di mana simptom masih berterusan walaupun selepas pemeriksaan rutin, doktor mungkin mengesyorkan pesakit untuk menjalani ujian ultrabunyi endoskopik atau endoscopic ultrasound (EUS).

“Ujian ultrabunyi endoskopik, atau EUS, pada asasnya menggabungkan dua teknologi dalam satu instrumen,” jelas Dr Deborah. “Yang pertama ialah endoskopi, di mana kamera fleksibel dimasukkan melalui mulut ke dalam perut dan usus kecil. Yang kedua ialah ultrabunyi, yang menggunakan gelombang bunyi untuk menghasilkan imej dalaman yang terperinci. Dengan membawa probe ultrabunyi ke dalam saluran penghadaman, doktor pakar dapat melihat gambaran yang lebih jelas tentang struktur yang terletak di dalam atau di sekitar perut.”

Oleh kerana probe ultrabunyi berada sangat dekat dengan organ-organ berhampiran, EUS mampu memberikan imej yang sangat terperinci bagi saluran penghadaman dan struktur di sekelilingnya. Ini membolehkan doktor pakar menilai lapisan dinding perut dan usus, pankreas, salur hempedu, pundi hempedu serta nodus limfa di sekitarnya. Teknik ini amat berguna untuk mengenal pasti lesi submukosa atau lesi yang lebih dalam yang mungkin tidak dapat dilihat melalui endoskopi biasa.

Menurut Dr Deborah lagi, EUS memainkan peranan penting dalam menyiasat pelbagai keadaan kesihatan. “Ia amat berguna untuk melihat jika terdapat sebarang ketumbuhan pankreas, keabnormalan pada salur hempedu, serta menyiasat penebalan dinding perut yang tidak dapat dijelaskan,” katanya. “Selain itu, EUS juga membolehkan doktor pakar melakukan biopsi jarum halus dengan sangat tepat, kerana imej ultrabunyi membantu untuk meletakkan jarum terus ke kawasan yang perlu diambil sampel.”

Satu lagi kelebihan utama EUS ialah kemampuannya untuk melengkapkan ujian diagnostik lain. Berbanding endoskopi bahagian atas konvensional, yang hanya memeriksa lapisan dalam saluran penghadaman, EUS mampu memvisualisasikan lapisan tisu yang lebih dalam serta struktur di luar dinding perut. Ia juga dapat mengatasi beberapa kekangan ujian ultrabunyi abdomen biasa, seperti gangguan daripada lemak abdomen, gas dalam usus, atau jarak di antara probe dan organ dalaman.

“Walaupun ujian imbasan CT dan MRI masih merupakan alat penting dalam menilai keadaan abdomen, EUS mampu memberikan imej beresolusi tinggi bagi lesi kecil serta membolehkan biopsi jarum terus dilakukan apabila diperlukan. Ini menjadikannya sangat penting dalam mengenal pasti keabnormalan kecil pada pankreas dan penemuan kecil lain yang memerlukan pemeriksaan lebih lanjut,” tambah Dr Deborah.

Disebabkan keupayaannya untuk memberikan imej yang sangat terperinci serta membimbing pengambilan sampel tisu secara tepat, EUS sering disyorkan apabila gejala ketidakhadaman masih berterusan setelah pemeriksaan rutin masih tidak memberikan diagnosis yang jelas. Dengan memberikan gambaran yang lebih jelas tentang struktur penghadaman yang lebih dalam, teknik diagnostik terkini ini dapat membantu doktor pakar mengesan keadaan kesihatan pesakit dengan lebih tepat serta menentukan langkah rawatan seterusnya yang paling sesuai dengan keadaan pesakit.

Setelah keadaan yang lebih serius diketepikan, rawatan bagi masalah ketidakhadaman biasanya tertumpu untuk melegakan simptom dan memperbaiki fungsi gastrik. Ubat mungkin diberikan untuk mengurangkan kerengsaan yang disebabkan oleh asid atau membantu pergerakan gastrik, bergantung kepada keadaan pesakit. Sekiranya jangkitan seperti Helicobacter pylori dikenal pasti, rawatan khusus diperlukan. Walaubagaimanapun, dalam kebanyakan kes, simptom yang dialami akan bertambah baik dengan plan perubatan yang sesuai dan penyesuaian pemakanan.

Selain rawatan, langkah pencegahan kekal sebagai strategi paling berkesan bagi masalah ketidakhadaman, terutamanya ketika musim perayaan. Dr Deborah menasihatkan orang ramai untuk mengawal saiz hidangan, mengambil makanan secara sederhana dan menjarakkan masa di antara hidangan berat. Pengambilan suplemen prorobiotik juga mungkin memberi manfaat kepada sesetengah individu, khususnya kepada mereka yang mudah mengalami kembung perut, dengan membantu mengekalkan keseimbangan usus ketika berlaku perubahan mendadak dalam pemakanan.

Beliau turut menegaskan bahawa walaupun menikmati hidangan perayaan adalah sebahagian daripada kemeriahan sambutan, kesedaran dan kesederhanaan adalah kunci untuk mengekalkan keselesaan dan kesihatan sistem penghadaman dalam jangka panjang.

“Musim perayaan adalah tentang mengeratkan hubungan, bukan mengenai makan secara berlebihan. Dengarlah isyarat tubuh anda. Kesederhanaan membolehkan anda meraikan musim perayaan dengan selesa tanpa perlu menukar kegembiraan menjadi ketidakselesaan.”

Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk pertanyaan, sila hubungi +603 9772 9191 atau e-mel smcv-enquiry@sunway.com.my. Untuk maklumat lanjut atau untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Sunway Medical Centre Velocity, layari www.sunwaymedicalvelocity.com.my (Facebook: Sunway Medical Centre Velocity).

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO MERAIKAN SYAWAL DENGAN KANDUNGAN YANG MENGERATKAN KELUARGA, MENYEMARAKKAN KEBERSAMAAN

“ALUNAN SYAWAL DI KAMPUNG PESISIR” – THE CURVE PERSEMBAHKAN KONSEP KAMPUNG AIR & LAGU RAYA SULUNGNYA