YUSRY ABDUL HALIM DENDANGKAN KEJUJURAN EMOSI DALAM 'JIWA & RAGA'
Nama besar industri hiburan tanah air, Yusry Abdul Halim, kembali menghangatkan dunia muzik tempatan dengan pelancaran single solo terbaharunya berjudul “Jiwa & Raga”. Kemunculan ini cukup istimewa kerana ia merupakan single solo pertama beliau selepas lebih dua dekad sejak “Dekat Padamu” pada tahun 2003, sekaligus membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni seorang penghibur yang kekal relevan merentasi generasi.
Diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia, “Jiwa & Raga” hadir sebagai sebuah balada moden penuh emosi yang mengangkat tema cinta, pengorbanan dan keikhlasan. Lagu ciptaan Luca Sickta ini menampilkan melodi yang melekat di ingatan serta lirik yang dekat dengan realiti kehidupan, menjadikannya karya yang mudah dihayati oleh pendengar.
Menurut Yusry, kekuatan utama lagu ini terletak pada kejujuran emosi yang dibawa. “Ia bukan sekadar lagu cinta biasa, tetapi ada rasa kehilangan, pengorbanan dan ketulusan yang dekat dengan kehidupan sebenar,” katanya. Beliau menekankan bahawa cabaran terbesar ketika merakamkan lagu ini bukanlah dari sudut teknikal nyanyian, tetapi bagaimana menyampaikannya dengan penuh tulus agar pendengar benar-benar merasai setiap bait lirik.
Menariknya, kemunculan semula Yusry dalam arena muzik hadir seiring dengan fenomena watak Dato’ Muzaffar yang dibawakannya dalam drama sensasi Dendam Seorang Mentua. Aura dan karisma beliau terus menyerlah, menjadikan kemunculan “Jiwa & Raga” lebih berkesan dalam mengukuhkan kedudukan Yusry sebagai figura hiburan tanah air.
Selain itu, Yusry turut memuji sentuhan Luca Sickta yang berjaya menghasilkan karya dengan melodi yang mudah diingati tetapi sarat dengan emosi mendalam. Luca sendiri mengakui sejak awal proses penciptaan, beliau sudah membayangkan suara Yusry sebagai penyampai utama kerana kematangan dan kejujuran vokalnya.
“Jiwa & Raga” kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Apple Music, Spotify dan YouTube, menjadikan ia sebuah karya yang pasti menjadi teman emosi kepada sesiapa yang pernah mencintai, merindui atau berkorban demi cinta.
.jpg)
Comments
Post a Comment