PEGANG TANGAN”: KOLABORASI ORGANIK ALTIMET & ADAM NUQRIS


Nama besar hip hop tanah air, Altimet, kembali mencuri perhatian dengan single terbaharu berjudul “Pegang Tangan”, hasil arkib peribadinya yang kini diberi nafas baharu bersama bakat muda, Adam Nuqris. Walaupun sibuk dengan tanggungjawab sebagai YB Lembah Jaya, Altimet tetap membuktikan muzik masih dekat di hati.

Dilancarkan di bawah Altimet Holdings Sdn. Bhd. dan diuruskan oleh SVLTAN Management, “Pegang Tangan” bukanlah projek komersial besar, sebaliknya lahir secara organik daripada momen kehidupan sebenar kedua-dua artis. Menariknya, lagu ini terlebih dahulu "tertiris" dalam temubual radio Adam Nuqris pada 8 Mei lalu sebelum pengumuman rasmi dibuat – sekaligus mengesahkan kemunculan semula Altimet dalam dunia muzik.

Rap Ikonik Bertemu Suara Baharu

Kolaborasi ini mempertemukan dua generasi – seorang legenda hip hop dan seorang pendatang baharu yang sedang membina identiti melalui karya penuh emosi. Adam, yang baru dikenali dengan single “Alasan”, melihat peluang bekerjasama dengan Altimet sebagai penghormatan besar.

“Bagi saya, ini bukan sekadar kolaborasi. Ia ruang untuk belajar bagaimana sebuah lagu boleh membawa makna mendalam walaupun disampaikan dengan sederhana,” kata Adam.


Naratif Kasih Sayang & Peranan Hidup

“Pegang Tangan” diinspirasikan daripada hubungan ibu dan anak, menggambarkan perjalanan emosi dari zaman kanak-kanak hingga dewasa, termasuk saat peranan bertukar apabila berdepan cabaran hidup dan kesihatan. Altimet menekankan bahawa karya ini hadir dengan kejujuran penuh: “Kadang-kadang lagu paling ringkas itulah yang paling dekat di hati,” ujarnya.

Produksi Minimalis, Emosi Maksimum

Ditulis oleh Altimet dan digubah oleh Mas Dewangga, lagu ini tampil dengan susunan muzik mellow hip hop yang minimalis, memberi ruang kepada lirik dan vokal untuk menyerlah. Proses rakaman yang bebas daripada tekanan komersial menjadikan hasilnya lebih telus dan jujur.

Visualiser Rasmi 14 Julai

Sebagai pelengkap, sebuah visualiser rasmi akan dilancarkan pada 14 Julai 2026, jam 12 tengah hari di saluran YouTube rasmi Altimet, menambah dimensi visual kepada karya yang sudah menyentuh hati ramai pendengar sejak ia mula distrim di semua platform digital utama.

Comments

Popular posts from this blog

IKEA MALAYSIA SOKONG PEMBELAJARAN AWAL UNTUK KELUARGA KURANG BERKEMAMPUAN

PPA LANCAR #ISAVEINPRS YEAR-END TREATS 2026 DORONG TABUNGAN PERSARAAN RAKYAT MALAYSIA