BUTTERFINGERS HIDUPKAN SEMULA AURA 1.2 MILLIGRAMS – ULANG TAHUN KE-30
Tiga dekad selepas kelahiran album ikonik 1.2 Milligrams, kumpulan legenda Butterfingers kembali meraikan karya sulung mereka dengan dua persembahan eksklusif di Odeon KL Event Hall pada 8 dan 9 Ogos 2026.
Dilancarkan pada tahun 1996 ketika muzik grunge dan punk sedang menguasai lanskap alternatif, 1.2 Milligrams bukan sekadar album penuh distortion dan feedback, tetapi juga melodi jujur yang terus hidup dalam memori pendengar. Kini, selepas 30 tahun, Butterfingers memilih untuk kembali ke pentas yang lebih intim – ruang yang dekat, mentah dan penuh kejujuran, seperti era awal mereka.
Sepanjang dua showcase ini, kumpulan akan mempersembahkan keseluruhan album, termasuk beberapa rakaman demo yang jarang sekali dimainkan secara langsung. “Kami mahu dua showcase ini terasa seperti kembali ke era 90-an. Bunyi yang kuat, lagu yang jujur, orang ramai menyanyi bersama,” kata Emmett.
Bagi Loque, sambutan ini adalah peluang untuk menyingkap semula magis yang menjadikan album sulung mereka begitu dekat di hati ramai. “Mungkin akhirnya kita akan sedar bahawa tidak pernah wujud formula pun. Yang ada hanyalah kejujuran, beberapa buah lagu, dan sekumpulan manusia yang bersedia untuk mendengarnya,” ujarnya.
Pemilihan Odeon sebagai lokasi bukan sekadar soal tempat, tetapi simbol perjalanan generasi yang pernah membesar dengan muzik alternatif di Kompleks Pertama dan kawasan sekitarnya. Ia adalah penghormatan kepada memori kolektif yang membentuk identiti Butterfingers dan peminat mereka.
Selepas produksi berskala besar seperti Transcendence 20, Malayneum 23 dan Peristiwa Angkasa Jio, kumpulan ini kembali mencari suasana gig yang lebih rapat – hubungan tanpa jarak antara kugiran dan pendengar.
Untuk mereka yang membesar bersama Butterfingers, untuk generasi baharu yang baru menemui muzik ini, dan untuk mereka yang mahu merasai semula semangat 1996 – Ulang Tahun Ke-30 1.2 Milligrams adalah cerita yang hanya diceritakan sekali, tetapi terus hidup selama tiga dekad.
Tiket untuk showcase ulang tahun ke-30 1.2 Milligrams oleh Butterfingers di Odeon KL Event Hall pada 8–9 Ogos 2026 kini boleh dibeli melalui laman rasmi konsert dan Loket.com dengan harga bermula RM149 untuk berdiri, RM259 untuk tempat duduk biasa, manakala tempat duduk VIP RM289 telah habis dijual.
.jpg)
.jpeg)
Comments
Post a Comment