RTM RAKAM PENGHORMATAN BUAT MAK MAH MENERUSI DOKUMENTARI ‘DIA: SENIWATI RUMINAH SIDEK’
Melalui pendekatan santai namun mendalam, dokumentari biografi Dia, terbitan Unit Majalah dan Dokumentari TV RTM (UMDTV RTM) minggu ini menyingkap transisi hidup Seniwati Ruminah Sidek atau Mak Mah. Daripada permulaannya sebagai anak kampung yang aktif menari seawal usia 10 tahun sehinggalah diiktiraf sebagai permata seni negara dengan sumbangan merentasi pelbagai zaman perfileman.
Dilahirkan pada tahun 1946 di Klang, Selangor, beliau yang pernah dinobatkan sebagai juara pelbagai pertandingan debat dan pidato ini awalnya dahulu bercita-cita untuk menjadi seorang guru. Namun cita-cita bergelar pendidik tidak kesampaian kerana aktif membantu bapa mencari rezeki keluarga sewaktu kecil.
Sebagai anak nombor dua dari 16 orang adik-beradik, beliau yang berbakat dalam bidang seni berkorban diri membantu bapa mencari pendapatan untuk keluarga. Manakala kakak sulungnya yang berumur 11 tahun ketika itu ditugaskan menjaga adik-adik.
Ketika itu juga bapanya yang bekerja Special Constabulary atau SC, amat menyokong minat Ruminah dalam dunia seni dengan mengajarnya tentang disiplin dan membuat sesuatu perkerjaan itu dengan bersungguh-sungguh.
Ketika Ruminah berumur 15 tahun, ibunya meninggal dunia bersama anak kembar ketika melahirkan mereka. Selepas pemergian ibu, kakak sulungnya yang berumur 16 tahun berkahwindan terus menjaga adik-adik yang masih kecil, manakala Ruminah pula mula aktif dalam bidang lakonan teater di kampung-kampung selepas mengikuti kelas lakonan di kampungnya.
Seterusnya Ruminah mula aktif menghadiri pelbagai sesi ujibakat TV dan mula mendapat tempat pada tahun 1964 ketika berumur 17 tahun sebagai watak Mak Mah terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Kini, seniwati ini telah berlakon pelbagai filem, drama dan telefilem sebagai tanda bakti dan mewarnai kehidupan penonton. Malah terbukti kehadiran beliau dalam industri tiada tolok bandingnya apabila kekal aktif berlakon sehingga ke hari ini tatkala usianya menghampiri 80 tahun, malah darah seni beliau mengalir pekat ke dalam diri anaknya, Adlin Aman Ramlie, yang kini bergelar pelakon dan pengarah berkaliber tanah air.
Dokumentari arahan dan terbitan Azry bin Ahmad Mustafa Hadi (UMDTV RTM) ini turut menampilkan Seniwati Datuk Fauziah Nawi, Adlin Aman Ramli, Raja Azmi dan Emelda Rosmila Abd Hamid.
Usah ketinggalan menyaksikan episod ini akan bersiaran secara eksklusif pada 12 Ogos depan, pukul 12.30 tengah hari dan ulangannya pada 17 Ogos 2026, pukul 9.00 malam menerusi saluran Okey dan penstriman RTMKlik rtmklik.rtm.gov.my.
.jpeg)
Comments
Post a Comment