JAPANESE FILM FESTIVAL 2026: 22 TAHUN SINEMA JEPUN DEKAT DI HATI MALAYSIA


Japanese Film Festival (JFF) kembali untuk edisi ke-22 di Malaysia, sekali lagi membawakan tayangan filem Jepun yang menarik bermula 8 September di Lembah Klang dan berlangsung di empat wilayah lain sehingga 18 Oktober 2026.

Pada tahun ini, JFF akan menayangkan sejumlah 14 filem Jepun yang dipilih dengan teliti merangkumi pelbagai genre, termasuk anime, filem berkaitan kabuki, suspens, komedi, dan drama yang menyentuh perasaan, serta tayangan semula versi remaster 4K.

Dianjurkan oleh Japan Foundation (JF), JFF di Malaysia telah berkembang menjadi salah satu acara filem antarabangsa yang paling dinanti-nantikan. Sepanjang dua dekad yang lalu, festival ini telah menarik lebih daripada 200,000 pengunjung, menayangkan 215 filem, menampilkan lebih 128 pengarah dan wakil filem kepada penonton Malaysia, serta menganjurkan 11 acara sampingan di 11 lokasi merentas lima negeri dan wilayah. Festival ini terus mendapat sokongan padu daripada penonton, dengan kehadiran lebih 10,000 pengunjung pada tahun 2025 sahaja.

JFF 2026 dibuka dengan tayangan 'TOKYO TAXI', filem terbaharu karya pengarah filem kontemporari yang disegani, Yamada Yoji, sebagai sebahagian daripada acara retrospektif khas bagi menghargai legasi luar biasa beliau. Kini berusia 95 tahun, Yamada telah mencurahkan masa selama lebih enam dekad dalam mencorakkan sinema Jepun menerusi gaya penceritaan yang berpaksikan nilai kemanusiaan serta gambaran kehidupan seharian yang cukup berkesan. Beliau yang diiktiraf secara meluas sebagai salah seorang pengarah paling berpengaruh di Jepun, terus menghasilkan karya yang dekat di hati penonton merentas pelbagai generasi.

Encik Shikata Noriyuki, Duta Besar Jepun ke Malaysia

Dalam ucapan pembukaannya, Encik Shikata Noriyuki, Duta Besar Jepun ke Malaysia berkata: "Sejak kebelakangan ini, filem-filem Jepun telah mendapat pengiktirafan yang luar biasa di persada antarabangsa. Momentum ini berterusan pada tahun 2026, dengan filem-filem karya pengarah Koreeda Hirokazu, Hamaguchi Ryusuke, dan Fukada Koji terpilih untuk menyertai pertandingan di Cannes. Selain itu, jurukamera Jepun, Akiko Ashizawa, telah diberi penghormatan menerusi anugerah berprestij 'Pierre Angénieux Tribute' di Festival Filem Cannes, sekali gus menjadi jurukamera Jepun pertama yang menerima pengiktirafan istimewa ini. Pengiktirafan antarabangsa ini turut terserlah di Festival Filem Antarabangsa Venice tahun ini, di mana dua filem Jepun iaitu 'Look Back' arahan Koreeda Hirokazu dan 'Mr. Nelson, Did You Kill People?' arahan Tsukamoto Shinya telah dipilih untuk pertandingan utama. Secara keseluruhannya, pencapaian-pencapaian ini membuktikan kehadiran sinema Jepun di peringkat global serta bagaimana jalan ceritanya terus menyentuh hati penonton sedunia".

Dato' Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS 

Dato' Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS berkata: "Pada masa dunia semakin dilanda dengan perpecahan dan ketidakpastian, kisah-kisah sebegini mengingatkan kita tentang nilai empati dan hubungan sesama manusia. Siri 'Tora-san' oleh Yamada Yoji menemui kehangatan dan makna dalam kehidupan seharian, manakala 'Throne of Blood' menawarkan refleksi yang hebat tentang cita-cita dan akibatnya. Dengan genre yang terdiri daripada fiksyen sains hingga percintaan, festival tahun ini menawarkan sesuatu untuk setiap penonton. FINAS mengalu-alukan kerjasama berterusan dengan The Japan Foundation, GSC International Screens dan semua rakan kongsi dalam pertukaran budaya dan pembangunan bakat. Semoga JFF terus mendekatkan penonton, memberi inspirasi kepada pembuat filem dan membuka kemungkinan baharu untuk kerjasama kreatif antara Malaysia dan Jepun."


Selain tayangan, JFF Filmmaking Workshop juga kembali untuk menyediakan bakal pembikin filem bagi memperdalam pemahaman mereka tentang perfileman, berhubung dengan profesional industri dan meneroka proses kreatif di sebalik pembikinan filem. Bengkel yang dianjurkan bersama Canon Malaysia ini telah menghimpunkan lebih 25 pelajar filem dari lima universiti Malaysia untuk program tiga hari dari 31 Julai hingga 2 Ogos 2026 di Fakulti Seni Sinematik Universiti Multimedia (MMU). Dibimbing oleh pembikin filem Malaysia yang terkenal dari Team Imaginur, iaitu pengarah Nik Amir Mustapha, sinematografer Idham Mad Din dan penyunting Johan Arif Mazlan, para peserta telah dicabar untuk menghasilkan treler untuk JFF 2026.


Tiket untuk JFF 2026 berharga RM 10.00 dan boleh didapati melalui saluran GSC. Semua filem akan ditayangkan dalam bahasa Jepun dengan sari kata Bahasa Inggeris. Untuk senarai lengkap sinopsis filem, waktu tayangan dan maklumat tambahan, sila layari platform media sosial JFKL dan gsc.com.my.

Comments

Popular posts from this blog

ADAKAH RAKYAT MALAYSIA TERLEPAS PANDANG RISIKO SEBENAR DI SEBALIK PENYAKIT JANTUNG?

IKON BUKIT BINTANG KEMBALI: THE FEDERAL KUALA LUMPUR TAMPIL LEBIH SEGAR DAN KONTEMPORARI

KEMPEN "MARI BER-CAROUSELL" GALAK AKTIVITI “DECLUTTERING”

HUAWEI KEKAL SEBAGAI JENAMA JAM TANGAN PINTAR NO.1 GLOBAL SERTA MENERAJU PASARAN MALAYSIA BAGI SEPARUH PERTAMA 2026