LUNCAI EMAS LANCAR “SERANGAN RADIKAL”, BUAH TANGAN HIP-HOP TERBAHARU EDDIE G & CHUBB-E


Industri muzik hip-hop tempatan, kini dimeriahkan dengan pelancaran single terbaharu berjudul “Serangan Radikal”, yang menampilkan gabungan dua artis hiphop iaitu Eddie G dan Chubb-E.

Dilancarkan secara rasmi oleh Luncai Emas Sdn Bhd, “Serangan Radikal” hadir dengan acuan hip-hop sosial yang cuba membawa pemerhatian ringkas terhadap norma dan budaya masyarakat moden hari ini. Menerusi susunan muzik yang santai serta bait lirik yang bersahaja, lagu ini menyentil beberapa fenomena sosial secara berhemah dan berpijak pada realiti kehidupan seharian.

Lagu dan lirik ‘Serangan Radikal’ adalah daripada Eddie G dan Chubb-E sendiri. Hakcipta lagu dan lirik adalah dibawah Luncai Emas Sdn Bhd.

“Serangan radikal ini adalah satu bentuk serangan minda tanpa sebarang arahan fizikal untuk menyampaikan mesej. Kita kini menetap di era baharu yang dipenuhi pelbagai liku yang perlu ditempuh oleh setiap manusia. Sedar atau tidak, kehidupan kita sebenarnya telah ditelan oleh persekitaran sosial yang semakin radikal,” ujar Eddie G.

Sementara itu, Chubb-E pula melihat judul dan falsafah lagu ini dari perspektif penyampaian serta pendekatan muzik mereka tersendiri. Bagi beliau, karya ini merupakan satu ruang untuk mereka menyampaikan pandangan secara jujur.

“Bagi saya, maksud serangan radikal itu adalah menjadi satu senjata yang berbeza daripada yang lain. Ia merujuk kepada cara serangan yang sukar diramal serta sentiasa berada di atas garisan sendiri,” jelas Chubb-E.


Menerusi liriknya, “Serangan Radikal” menyentuh pelbagai isu harian yang sering berlaku dalam masyarakat masa kini. Antaranya termasuklah fenomena di media sosial, budaya menunjuk-nunjuk, sifat cemburu, isu di tempat kerja, ketagihan hiburan, serta sikap menghakimi sesuatu perkara tanpa ilmu yang kukuh.

Sebelum ini, Eddie G atau Eddie Ghiller seorang artis hip-hop yang memulakan langkah bersama kumpulan Tiga Swagger sebelum bergerak solo menerusi karya seperti “Cerita Sama”, “Setiap Waktu Engkau Gemerlap (S.W.E.G.)”, dan “Yataghayar” (menampilkan Asfan Shah), terkenal dengan penulisan storytelling sosial. Di luar kerjaya muziknya, beliau merupakan seorang peminat tegar budaya skateboarding yang kerap mempengaruhi gaya streetwear serta estetika kreatifnya.

Manakala, Chubb-E atau nama sebenarnya Muhammad Sharul Ashlyn, yang mula menempa nama selepas menjuarai Ceria Megastar, meraih anugerah Artis Baharu Lelaki Popular ABPBH 33, serta membintangi siri fenomena Projek: Anchor SPM, juga aktif sebagai komposer serta penerbit muzik yang pernah meluncurkan pelbagai karya hit seperti “Padan Muka”, “Aku Tak Kisah”, “Tiada Noktah”, dan lagu kolaborasi “Biru Malam” bersama Amir Masdi.

“Serangan Radikal” bukanlah bertujuan untuk menyerang mana-mana pihak, sebaliknya ia sekadar satu bentuk cerminan dan peringatan bersama terhadap mentaliti masyarakat hari ini. Lagu ini menggalakkan pendengar untuk sama-sama menilai semula cara hidup dalam dunia yang penuh dengan perubahan dan pengaruh media.

Menerusi single “Serangan Radikal” gabungan Eddie G & Chubb-E, Luncai Emas Sdn Bhd terus meneroka sisi baharu muzik dengan mengetengahkan genre hip-hop yang segar, berani dan berbeza.

Tidak hanya bergantung kepada kekuatan lagu, karya ini turut diperkukuhkan dengan penghasilan sebuah video muzik yang diarahkan oleh pengarah berbakat dari Nigeria, Moses (Mosesvisuals). Rakaman video muzik tersebut telah berlangsung di dalam sebuah studio dengan menampilkan konsep visual yang bersesuaian dengan identiti lagu.

Diharapkan single ini memberikan motivasi kepada pendengar – pendengar di luar sana.

Lagu “Serangan Radikal” kini boleh didengari dan dimuat turun di semua platform striman muzik utama seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, dan KKBOX serta tonton video muzik rasmi di saluran youtube Luncai Emas.

 

Comments

Popular posts from this blog

IKON BUKIT BINTANG KEMBALI: THE FEDERAL KUALA LUMPUR TAMPIL LEBIH SEGAR DAN KONTEMPORARI

ASTRAZENECA MALAYSIA & MSN TINGKATKAN KESEDARAN SERTA SOKONGAN PENJAGAAN AHUS

KEMPEN "MARI BER-CAROUSELL" GALAK AKTIVITI “DECLUTTERING”