SOGO & BANK ISLAM UMUM PEMENANG ‘JOM BALIK KAMPUNG’: SALAMIYAH BINTI MOHAMAD PANDU PULANG PERODUA TRAZ


Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah kisah kejayaan Salamiyah Binti Mohamad yang muncul sebagai pemenang utama kempen peraduan “Jom Balik Kampung bersama SOGO & Bank Islam”, sekali gus memandu pulang sebuah kereta Perodua Traz 1.5H 2T (D-CVT) baharu.

Penganjuran kali ini meneruskan tradisi SOGO yang sudah lebih sedekad menghargai sokongan padu pelanggan menerusi tawaran ganjaran hebat bersempena perayaan Hari Raya. Memasuki tahun kedua kerjasama strategik bersama Bank Islam, kempen yang berlangsung dari 20 Februari hingga 31 Mei 2026 ini ternyata mendapat sambutan luarbiasa dengan penyertaan hampir 26,000 borang dari seluruh negara.

Menerusi kempen tersebut, pelanggan hanya perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM150 dalam satu resit untuk melayakkan diri. Kelebihan nyata berpihak kepada pemegang kad Bank Islam yang meraih dua peluang penyertaan berbanding ahli SOGO biasa, sekali gus merancakkan lagi persaingan.

Mencapai kemuncaknya hari ini, seramai 21 peserta akhir yang terpilih berkumpul bagi merebut ganjaran keseluruhan bernilai lebih RM189,000 menerusi cabaran pentas yang penuh debaran.

Acara bermula dengan pusingan pertama “Peel-2-Advance”, di mana para peserta dikehendaki menanggalkan pelekat pada lambang berbentuk kereta untuk mendedahkan nombor tersembunyi. Enam peserta yang mengumpul mata tertinggi terus mara ke pusingan akhir, manakala 15 peserta lagi tidak pulang dengan tangan kosong apabila masing-masing menerima baucar membeli-belah SOGO bernilai RM2,000 sebagai hadiah saguhati.


Debaran kian terasa pada pusingan penentu “Key-2-Victory”. Berpandukan susunan markah pusingan awal, enam peserta akhir diberi peluang memilih kunci pada papan permainan. Tuah ternyata memihak kepada Salamiyah Binti Mohamad apabila kunci yang ditarik merupakan kunci paling panjang, sekali gus mengesahkan kejuaraan beliau untuk memiliki Perodua Traz baharu.


Dalam pada itu, lima lagi peserta akhir turut tersenyum lebar apabila membawa pulang Hadiah Kedua berupa akaun emas Bank Islam Gold Account-i (BIGA-i) bernilai RM15,000 seorang. Mereka ialah Mohd Safari Bin Hamizan, Noraini Binti Ismail, Nur Hidayah Binti Shamsuddin, Tan May Wah dan Tuan Mohd Alwafi.


Melihat kepada kejayaan penganjuran ini, SOGO berikrar untuk terus merangka pelbagai kempen ganjaran menarik pada masa hadapan demi memberikan nilai tambah serta pengalaman membeli-belah yang terbaik buat seluruh warga tempatan.

Comments

Popular posts from this blog

IKON BUKIT BINTANG KEMBALI: THE FEDERAL KUALA LUMPUR TAMPIL LEBIH SEGAR DAN KONTEMPORARI

ASTRAZENECA MALAYSIA & MSN TINGKATKAN KESEDARAN SERTA SOKONGAN PENJAGAAN AHUS

KEMPEN "MARI BER-CAROUSELL" GALAK AKTIVITI “DECLUTTERING”