MENYINGKAP KHAZANAH ALOR SETAR, PERMATA BERSEJARAH NEGERI KEDAH


Sebagai ibu negeri Kedah, Alor Setar bukan sekadar pusat pentadbiran, malah sebuah kota diraja yang kaya dengan sejarah, budaya dan warisan yang menjadi kebanggaan negeri Jelapang Padi ini. Di tengah-tengah bandar, bangunan bersejarah berdiri megah bersebelahan pusat perdagangan moden, menggambarkan perjalanan panjang sebuah kota yang pernah menjadi nadi Kesultanan Kedah. Dari istana lama dan masjid ikonik hingga pasar tradisional yang masih meriah, Alor Setar menawarkan pengalaman yang membolehkan pengunjung menyelami sejarah sambil menikmati denyut kehidupan masyarakat setempat.

1. Istana Pelamin (Muzium Diraja Kedah)

Tempat yang wajid dikunjungi untuk mengenali sejarah Kesultanan Kedah bermula di Istana Pelamin, sebuah bangunan kayu berusia hampir tiga abad yang kini berfungsi sebagai Muzium Diraja Kedah. Istana yang dibina pada tahun 1735 ini pernah menjadi kediaman rasmi keluarga diraja serta lokasi pelbagai istiadat penting negeri. Nama "Istana Pelamin" mula terkenal selepas berlangsungnya majlis perkahwinan diraja yang cukup gemilang pada tahun 1904, melibatkan lima putera dan puteri Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Hari ini, pengunjung berpeluang meneliti koleksi artifak diraja, pakaian tradisional, salasilah Kesultanan Kedah dan pelbagai khazanah yang menceritakan sejarah pemerintahan negeri tertua di Malaysia.

Kedah Royal Museum
📍 Medan Bandar, Kedah, 05400 Alor Setar

2. Masjid Zahir

Hanya beberapa langkah dari Istana Pelamin berdirinya Masjid Zahir, mercu tanda paling ikonik di Alor Setar. Dengan lima kubah hitam yang anggun serta seni bina Moorish yang memukau, masjid ini sering disenaraikan sebagai antara masjid tercantik di Malaysia. Dibina pada tahun 1912, Masjid Zahir bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ibadah, malah menjadi simbol identiti dan kebanggaan rakyat Kedah. Keindahan struktur bangunannya menjadikannya subjek kegemaran jurugambar, terutamanya ketika cahaya senja menyinari kubah-kubahnya yang megah.

Zahir Mosque
📍 Jalan Kampung Perak, Alor Setar, Kedah

3. Rumah Kelahiran Tun Dr. Mahathir Mohamad

Bagi pencinta sejarah moden Malaysia, Rumah Kelahiran Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan destinasi yang penuh makna. Terletak di Lorong Kilang Ais, rumah kayu sederhana ini merupakan tempat kelahiran Perdana Menteri Malaysia ke-4 dan ke-7 pada 20 Disember 1925. Kini dijadikan galeri memorial, rumah tersebut mempamerkan pelbagai gambar, dokumen dan barangan peribadi yang menggambarkan perjalanan hidup beliau daripada seorang anak kampung di Alor Setar kepada tokoh negarawan yang disegani dunia. Lawatan ke sini memberikan perspektif menarik tentang zaman kanak-kanak dan latar belakang individu yang banyak mencorakkan pembangunan negara.

Rumah Kelahiran Mahathir Mohamad

4. Pekan Rabu dan Pasar Malam Pekan Rabu

Tiada kunjungan ke Alor Setar yang lengkap tanpa singgah ke Pekan Rabu, pusat perdagangan tradisional yang telah lama menjadi kebanggaan penduduk Kedah. Di sinilah pengunjung boleh mendapatkan pelbagai produk tempatan seperti kuih karas, dodol, pekasam, rempah-ratus, pakaian tradisional dan kraftangan. Suasananya menjadi lebih meriah setiap hari Rabu apabila kawasan sekitarnya bertukar menjadi Pasar Malam Pekan Rabu, menampilkan deretan gerai makanan dan minuman, hasil tani serta pelbagai produk tempatan. Ia merupakan lokasi terbaik untuk merasai sendiri budaya, makanan dan keramahan masyarakat Kedah.

Pekan Rabu
📍 Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar, Kedah
☎️ +604-733 5929

5. Port Padang Garam dan Restoran Anjung Kuala

Menjelang petang, berkunjunglah ke Port Padang Garam di Kuala Kedah, sebuah kawasan pesisir yang semakin popular sebagai lokasi santai untuk menikmati pemandangan laut dan matahari terbenam. Laluan pejalan kaki yang menghadap muara sungai menawarkan suasana yang tenang, menjadikannya tempat pilihan keluarga dan pengunjung untuk bersantai sambil menghirup udara laut yang segar.

Selepas menyaksikan langit bertukar jingga keemasan, akhiri hari anda di Restoran Anjung Kuala, yang terkenal dengan sajian tempatan dan makanan laut segar. Hidangan seperti gulai ikan, ikan bakar dan tom yum menjadi pilihan ramai, menawarkan penutup sempurna kepada kembara sehari di Alor Setar. Gabungan pemandangan pesisir yang memukau dan hidangan yang menyelerakan menjadikan pengalaman di Kuala Kedah antara kenangan yang sukar dilupakan.

Port Padang Garam
📍 Kuala Kedah, Kedah

Restoran Anjung Kuala Ikan Bakar Western
📍 476J+56, Jalan Marina Harbour, Kampung Padang Garam, 06600 Kuala Kedah, Kedah


Alor Setar mungkin dikenali sebagai sebuah bandar yang tenang, namun di sebalik ketenangannya tersimpan pelbagai kisah sejarah, warisan diraja dan pengalaman budaya yang kaya. Sama ada anda ingin menelusuri sejarah Kesultanan Kedah, mengagumi seni bina klasik, mengenali tokoh negarawan negara atau menikmati keunikan kehidupan tempatan, kota diraja ini menawarkan sesuatu untuk setiap pengunjung. Alor Setar bukan sekadar persinggahan, tetapi sebuah destinasi yang mengajak anda memahami jiwa dan identiti sebenar negeri Kedah.

Comments

Popular posts from this blog

KEMPEN "MARI BER-CAROUSELL" GALAK AKTIVITI “DECLUTTERING”

PENGALAMAN 2 HARI 1 MALAM DI BANDAR YILAN, TAIWAN: KOTA KESENIAN TRADISIONAL DENGAN WARISAN BUDAYA YANG INDAH