YAYASAN SPARK MENERAJUI USAHA PERLINDUNGAN SUMBER AIR
“Kemelut air di Selangor lebih kritikal”, ungkapan yang seringkali kita dengar namun ramai yang tidak tahu sejak 10 tahun lalu, Yayasan SPARK bukan sahaja sudah memulakan usaha menangani masalah ini tetapi berusaha membersihkan kualiti air seluruh negara.
Sebagai sebahagian daripada agenda perlindungan sumber air yang berterusan, Yayasan SPARK komited untuk menyumbang RM2.5 juta untuk tempoh 3 tahun akan datang di bawah projek W.A.T.E.R.(Working Actively Through Education and Rehabilitation).
Yayasan ini berhasrat menerajui usaha perlindungan sumber air dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan komuniti tempatan menerusi projek strategik untuk kerja-kerja ke arah bekalan air yang mampan.
Bagi memulakan Fasa 3 projek ini, Yayasan SPARK dengan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Global Environment Centre (GEC) telah membina tangki sistem tadahan air hujan di Blok 1, Desa Mentari di Petaling Jaya yang berhampiran dengan Sungai Penchala, salah satu tapak projek W.A.T.E.R.
Sistem ini dianggarkan mampu menadah lebih kurang satu juta liter air hujan setahun dan akan memberi manfaat kepada lebih 1,800 penghuni untuk kegunaan umum seperti pembersihan, perkebunan dan pengairan semasa ketandusan hujan.
Renuka Indrarajah, pemegang amanah Yayasan SPARK berkata: “Water Stewardship atau perlindungan sumber air merupakan tindakan strategik yang diambil untuk memastikan bekalan air diuruskan secara mampan sebagai satu sumber yang dikongsi bersama. Kami percaya bahawa komitmen kearah perlindungan sumber air bukan sekadar menjadi pengguna yang bijak. Menerusi Yayasan SPARK, kami ingin menerajui usaha ini menerusi kerjasama rapat dengan rakan-rakan kerjasama untuk melaksanakan pendekatan dan pendidikan kepada komuniti tempatan serta pelaburan untuk inisiatif-inisiatif strategik yang akan dijalankan di lembangan Sungai Selangor, Sungai Penchala and Sungei Way. Sehingga kini, kami telah melibatkan lebih 137 komuniti tempatan menerusi pelbagai program pendidikan dan kesedaran termasuklah Program Jangkau Orang Ramai River of Life (River of Life Public Outreach Programme), Program Train the Trainers dan Unit Penjagaan Sungai Bergerak. Dengan program-program pemulihan sungai yang dilaksanakan, kami tele mewujudkan 12 komuniti penjagaan sungai yang aktif dan mendekati lebih 30,000 rakyat Malaysia.”
Dalam langkah menggalakkan penduduk Petaling Jaya lebih peka dalam menjaga alam sekitar, ramai yang tidak tahu sudah empat tahun Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memberi keistimewaan pengguna kereta Hybrid atau elektrik yang dibeli di Selangor akan menikmati tempat letak kereta percuma! Maka langkah Yayasan SPARK dan GEC ini amat dialu-alukan pihak MBPJ.
Tuan Johary Bin Anuar, Timbalan Datuk Bandar MBPJ berkata: “Pemuliharaan air merupakan usaha kritikal yang perlu diuruskan secara efektif lebih-lebih lagi di kawasan bandar yang pesat membangun seperti Petaling Jaya. Melindungi sumber air merupakan tanggungjawab bersama dan kami komited untuk menyokong organisasi-organisasi yang memperkasa komuniti tempatan untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya.
Inisiatif oleh Yayasan SPARK dan GEC dengan pelbagai pihak berkepentingan merupakan antara contoh terbaik yang mampu memberi impak dan manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia. Kami amat menggalakkan organisasi-organisasi lain untuk menjadikan Yayasan SPARK sebagai contoh dan melaksanakan projek-projek alam sekitar yang berhubung kait dengan aktiviti organisasi mereka."
Dr K. Kalithasan, Koordinator Penjagaan Sungai, GEC turut menambah bahawa: “Projek W.A.T.E.R berjaya dilaksanakan dengan adanya kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan juga komuniti tempatan. Dengan halatuju projek yang telah diperbaharui, ia membolehkan kami memperkenalkan sumber bekalan air alternatif yang mampan sekaligus meningkatkan kesedaran pemuliharaan air kepada semua lapisan masyarakat.”
Sejak 10 tahun lalu, Yayasan SPARK telah melabur lebih RM8 juta bagi Fasa 1 dan Fasa 2 Projek W.A.T.E.R. Yayasan SPARK telah menjadikan lima sungai sebagai ‘sungai angkat’ iaitu Sungei Wey dan Sungai Penchala di Selangor, dan juga Sungai Senam, Sungai Buntong dan Sungai Kledang di Perak sejak 2007.
Tahun ini, Projek W.A.T.E.R juga akan mula melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan di Sungai Selangor dan pada masa yang akan datang, yayasan akan menyumbang ke arah inisiatif strategik seperti sistem tadahan air hujan, teknologi ‘water thimble’, penanaman di kawasan tanah lembab dan juga program penghutanan semula di Raja Musa.
Orang awam digalakkan untuk mendaftar sebagai sukarelawan atau rakan kerjasama menerusi laman web Yayasan SPARK: www.sparkfoundation.com.my.
Comments
Post a Comment