KISAH KONFLIK PENUH PENGAJARAN ‘EPILOG 3 NAGA’ KINI DI AWESOME TV
Bagi mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi utama pilihan rakyat Malaysia, saluran stesen televisyen swasta percuma (free-to-air) Awesome TV buat julung kalinya berbesar hati mempertaruhkan sebuah naskhah adaptasi terbaharu berjudul ‘Epilog 3 Naga’ khas untuk peminat drama Melayu tempatan yang bakal bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 7.00 malam mulai 3 Ogos 2022 menerusi slot Dramatix secara eksklusif di platform Astro (Saluran 123) dan MyTV (Saluran 112).
Drama bersiri ‘Epilog 3 Naga’ merupakan sebuah karya adaptasi novel dengan judul yang sama nukilan Kaz Ishak yang mengangkat genre aksi tentang dunia gengsterism terbitan syarikat produksi Layar Sutra Sdn. Bhd. Drama 24 episod arahan sutradara Razif Ajiboy ini menampilkan pelakon dan usahawan terkenal, Betty Banafe selaku penerbit serta turut mengekalkan Kaz Ishak selaku penulis skrip dan pengarah seni.
Plot perjalanan penuh konflik drama ‘Epilog 3 Naga’ mengisahkan tentang kisah tiga sahabat karib yang hanyut dalam memilih jalan hidup sehingga terjerumus dengan kancah jenayah kongsi gelap. Meskipun sarat dengan aksi lasak, kisah ini turut menggabungkan elemen drama cinta, persahabatan dan pengorbanan untuk memberikan naratif penceritaan yang lebih menghiburkan.
Drama menarik ini diterajui oleh Hazama Azmi yang memegang watak sebagai Khalid, Syarul Ezani sebagai Fazarul, Shafiq ‘Stu’ Rosli sebagai Sean Abdullah, Che Puan Juliana Evans sebagai Natasha, Atyka Jalil sebagai Sazlina, Katalina sebagai Sofea Ahmad, Faizal Hussien sebagai Azroy, Ridzuan Hashim sebagai Uncle Hussien, Marissa Yasmin sebagai Makcik Asmah, Sahronizam Noor sebagai Pakcik Zulkarnain, Along Eyzendy sebagai Black dan Aman Nassim sebagai Chris serta ramai lagi.
Mengulas lanjut mengenai drama Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli selaku Pengarah Unit Kandungan Awesome TV berkata, “Selain kisah cinta dan komedi, tema aksi juga merupakan genre yang sering mendapat perhatian audiens. Walaupun kami jarang mengetengahkan kisah tentang seseorang yang terjebak dengan dunia hitam serta cabaran yang perlu dilaluinya sebagai elemen utama penceritaan menerusi drama-drama yang pernah disajikan sebelum ini, namun kini tiba masanya kami lari daripada kebiasaan dan mengambil langkah berani untuk menyelami dunia gelap gengsterism sebagai nadi penting dalam drama ‘Epilog 3 Naga’.
Drama ‘Epilog 3 Naga’ merupakan sebuah naskhah yang sebenarnya sarat dengan elemen emosi. Namun, ia bukanlah tertumpu kepada elemen pergolakan semata-mata, tetapi turut mengandungi mesej dan nilai positif sebagai pengajaran bersama. Saya percaya penceritaan kisah kali ini pastinya bakal membawa kelainan yang menyeronokkan kerana kekuatan jalan ceritanya yang luar biasa dan menghiburkan.
Syabas saya ucapkan kepada pihak produksi kerana berjaya menggarap drama ini dengan baik. Semoga drama ini diterima baik sekaligus mencipta fenomena yang tersendiri apabila ditayangkan kelak. Selamat menonton!”.
Dalam pada itu, Razif Ajiboy selaku Sutradara ‘Epilog 3 Naga’ turut menambah, “Sebagai seorang pengarah, drama ini merupakan satu naskhah yang menyingkap kehidupan segelintir remaja daripada sisi gelap. Punca utama yang mempengaruhi mereka untuk terlibat dengan aktiviti yang tidak bermoral adalah kerana dibesarkan dalam persekitaran yang tidak sepatutnya.
Drama bersiri ‘Epilog 3 Naga’ akan memberi kesedaran kepada ibu bapa tentang pentingnya peranan mereka sepanjang proses pembesaran anak-anak. Langkah pihak Awesome TV yang berani menerbitkan karya ini harus dipuji kerana genre dan penceritaan seumpama ini jarang diketengahkan oleh mana-mana stesen televisyen yang lain.”
Comments
Post a Comment