KELESTARIAN HUTAN PAYA GAMBUT NEGARA MENJADI KEUTAMAAN PADA HARI KEPELBAGAIAN BIOLOGI ANTARABANGSA 2023


Sempena Hari Kepelbagaian Biologi Antarabangsa yang diraikan setiap 22 Mei, seramai 130 sukarelawan daripada segenap usia telah berkumpul di Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) di Selangor pada 20 Mei untuk menanam sejumlah 600 pokok bagi membantu memulihkan hutan paya gambut negara dan membawa perubahan untuk masa depan generasi akan datang.

Penanaman pokok di hutan paya gambut adalah penting untuk memelihara kepelbagaian biologi kehidupan kerana hutan tersebut merupakan satu ekosistem penting yang menyokong spesies tumbuh-tumbuhan dan hidupan liar yang unik dan pelbagai. Hutan paya gambut juga memainkan peranan kritikal dalam menangani perubahan iklim, menyimpan karbon dan air serta memelihara kepelbagaian hidupan.

Usaha penanaman pokok juga mampu memulihkan hutan paya gambut yang terosot dan terancam. Usaha-usaha untuk memulihkan HSKLU, sebuah hutan paya gambut yang mudah rosak dan memerlukan pemulihan, telah berlangsung sejak tahun 2015 melalui inisiatif pembasahan semula (pengurusan hidrologi), penanaman semula (menanam pokok) dan pengurangan kebakaran (pemantauan hutan berasaskan komuniti) melalui kerjasama Sahabat Gambut Asli Temuan (SGAT), Global Environment Centre (GEC) dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).


Turut diadakan juga program yang telah lama berlangsung iaitu Penanaman Pokok Bulanan yang dianjurkan secara bersama oleh GEC, JPNS, Pertubuhan Sahabat Hutan Gambut Selangor Utara dan SGAT yang juga menyokong Program Penghijauan Malaysia menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok. Usaha penanaman semula ini telah berjaya meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan usaha pemulihan hutan paya gambut menerusi penglibatan masyarakat.

BOH Plantations (BOH) telah terlibat dalam Usaha Pemulihan dan Pengurusan Air Hutan Paya Gambut oleh GEC di HSKLU sejak tahun 2015. Kini, sebagai pernyataan program kemampanan jangka panjang BOH yang bertemakan ‘BOH, A Cup of Sustainabili-tea’, syarikat tersebut telah menaja usaha penanaman pokok termasuk penjagaan dan pengurusan tumbuhan tersebut.

Jason Foo, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BOH Plantations Sdn Bhd, berkata, “Sebagai sebuah syarikat yang terhutang budi kepada alam sekitar atas kejayaan dan legasi yang dikecapi, kelestarian alam adalah suatu yang diutamakan dalam merealisasikan matlamat kami untuk menjadi penanam teh yang mampan sepenuhnya pada masa akan datang.

“Kami mengutamakan ekosistem seimbang di kawasan hutan sekeliling semua ladang teh kami. Di Ladang BOH Bukit Cheeding, yang berada pada kedudukan unik bersebelahan dengan HSKLU, kami mengekalkan zon penampan di antara kawasan penanaman kami dengan hutan berkenaan bagi memelihara kepelbagaian biologi hidupan dan keutuhan tanah.

“Usaha penanaman pokok ini adalah sebahagian daripada program kemampanan jangka panjang syarikat yang bertemakan ‘BOH, A Cup of Sustainabili-tea’. Kami amat gembira dan berbesar hati untuk memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran dan pemulihan serta kelestarian hutan tanah gambut negara.”

Ke-4 dari kiri : Jason Foo, Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations, bersama rakan kongsi program dan ahli pasukan BOH

Mengulas mengenai usaha pemulihan hutan paya gambut HSKLU, Faizal Parish, Pengarah Global Environment Centre (GEC), berkata, “Sejak beberapa tahun lalu, kerjasama pelbagai pihak berkepentingan untuk memulihkan hutan paya gambut negara telah menghasilkan perkembangan yang positif. Melalui sokongan JPNS, penglibatan aktif SGAT, jalinan kerjasama sektor awam-swasta yang menyokong serta peningkatan libat urus masyarakat, kami mampu mewujudkan pendekatan pengurusan hutan paya gambut yang mampan dan membantu dalam mengekalkan nilai kawasan tersebut serta pada masa sama memelihara kekayaan kepelbagaian biologi dan mengekalkan manfaat ekosistem serta mengawal perubahan iklim.”

Tema Hari Kepelbagaian Biologi Antarabangsa 2023 ‘Daripada Persetujuan kepada Tindakan: Bina Kembali Kepelbagaian Biologi’ (‘From Agreement to Action: Build Back Biodiversity’) merupakan peringatan yang bertepatan pada masanya agar kita memainkan peranan untuk mengembalikan dan membina semula hutan paya gambut negara bagi memelihara kepelbagaian biologi dan menyumbang kepada bumi yang lebih sejahtera.

Untuk mengambil bahagian dalam inisiatif-inisiatif Penanaman Pokok GEC pada masa hadapan, layari laman www.gec.org.my.

Comments

Popular posts from this blog

COLGATE OPTIC WHITE PURPLE: UBAT GIGI PEMUTIH UNGU PERTAMA COLGATE

ICBS 2024: MENJEMPUT ANDA MENEROKA INOVASI KAFE DI KUALA LUMPUR!