LIFE IS FUNNY TOO: PERSEMBAHAN PENUH GELAK TAWA, MUZIK DAN HARAPAN DALAM MEMERANGI KANSER


Berikutan kejayaan besar Life Is Funny tahun lalu, Cancer Research Malaysia (CRMY) dengan bangganya membawa kembali kemeriahan acara Life Is Funny Too. Acara yang dinanti-nantikan ini akan berlangsung pada 23 Februari jam 7:00 malam di HGH Convention Centre, menjanjikan malam yang tidak akan dilupakan penuh dengan gelak tawa, muzik, dan solidariti dalam usaha memerangi kanser.

Berdasarkan momentum acara sulung terdahulu, Life Is Funny Too bukan sekadar persembahan hiburan, ia adalah satu perjuangan bersama yang bermakna. Barisan penghibur tahun ini terdiri daripada lagenda komedi Malaysia, Douglas Lim dan Joanne Kam Poh Poh, yang akan pasti menyebabkan penonton yang hadir tidak kering gusi.

Penyanyi bersuara lunak, Ning Baizura juga bakal menghiburkan para hadirin dengan dendangan lagu hitnya. Acara malam tersebut bakal dihoskan oleh Dato' Leonard Tan yang akan memeriahkan lagi acara dengan menggabungkan humor, muzik, dan detik-detik penuh emosi.

“Life Is Funny Too bukan sekadar bertujuan untuk mengumpul dana. Ia memberi peluang untuk kita bergelak tawa, mengeratkan hubungan, dan menyemarakkan lagi harapan demi mengingatkan kita tentang apa yang kita perjuangkan: masa depan yang bebas dari kanser. Kami sangat berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh semua pihak untuk membolehkan kami meneruskan kerja penting kami,” kata Andy Khoo, Ketua Pegawai Eksekutif CRMY.

Dengan Malaysia menghadapi peningkatan kes kanser, CRMY berada di barisan hadapan dalam menjalankan penyelidikan penting untuk memerangi kanser. Dari kajian genetik perintis hingga memajukan strategi pengesanan awal dan rawatan, usaha CRMY didedikasikan untuk mengurangkan beban kanser dan meningkatkan kadar kelangsungan hidup.

Dana yang terkumpul dari Life Is Funny Too akan secara langsung membiayai inisiatif penyelidikan yang tertumpu kepada kanser seperti kanser nasofaring, payudara, dan serviks, memastikan rakyat Malaysia mempunyai akses kepada rawatan terbaik dan penyelesaian inovatif.

Life Is Funny Too menggunakan kuasa penyembuhan komedi dan muzik untuk memupuk rasa komuniti dan harapan  dalam kalangan mereka yang terjejas oleh kanser.

Untuk pembelian tiket dan maklumat lanjut, sila layari https://www.cancerresearch.my/event/6259/

Comments

Popular posts from this blog

“RONA BOSPHORUS”, DRAMA ADAPTASI PERTAMA BUKA TIRAI DI RTM TAHUN 2025

SEJUTA BINTANG KEMBALI, TOP 32 BERSEDIA BERSAING DALAM CALPIS SODA ONE IN A MILLION!