THE KERIS: KEHEBATAN PAHLAWAN MELAYU BAKAL MENGEGARKAN PAWAGAM JULAI INI
Industri filem tempatan bakal digegarkan dengan sebuah karya epik yang menggabungkan warisan, aksi dan drama — The Keris. Filem ini bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah naskhah yang mengangkat semula semangat pahlawan Melayu, identiti budaya dan nilai sejarah yang semakin dilupakan generasi muda.
Di sebalik projek ini ialah penerbit Dr. Matheyalagan, yang mahu mengingatkan kembali masyarakat tentang kehebatan tokoh legenda Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya. “Ramai anak muda hari ini tidak lagi mengenali kisah Hang Tuah. Saya mahu membangkitkan semula warisan lama serta seni persilatan yang wajar diwarisi,” katanya penuh tekad.
Menariknya, The Keris bukan sekadar kisah klasik. Filem arahan Viknes Perrabu ini menggabungkan dua dunia — era moden dan zaman Hang Tuah — dengan jalan cerita penuh aksi, seni bela diri moden serta adegan lagak ngeri yang mendebarkan. Kisahnya berpusat pada mafia luar negara yang memburu Keris Tempa Melaka, senjata keramat milik Hang Tuah yang dikatakan menyimpan kelebihan luar biasa.
Walaupun berbangsa India, Dr. Matheyalagan melihat karya bertemakan budaya Melayu sebagai satu penghormatan kepada warisan negara. Membesar bersama masyarakat Melayu sejak kecil, beliau menganggap filem ini sebagai tanda kecintaan terhadap budaya dan semangat pahlawan. Lebih mengagumkan, projek ini dibiayai sepenuhnya dengan dana peribadi tanpa sokongan luar.
Bagi pengarah Viknes Perrabu, The Keris adalah peluang untuk meneroka dunia perfileman Melayu selepas 15 tahun berkecimpung dalam filem Tamil. “Skripnya unik, sarat dengan elemen budaya dan sejarah. Kami lakukan kajian mendalam tentang keris, adat dan tradisi Melayu sebelum menghasilkan jalan cerita akhir,” jelasnya. Cabaran komunikasi dalam bahasa Melayu turut dihadapi, namun sokongan pelakon berpengalaman seperti Datuk Jalaluddin Hassan dan Raja Azrey banyak membantu melancarkan penggambaran.
Barisan pelakon yang membintangi filem ini termasuk Syazlie Syazz, Julia Larica, Firdaus Luthuffi, Zainal Isa, Raja Azrey dan Datuk Jalaluddin Hassan. Lebih istimewa, The Keris turut menampilkan cameo oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Filem ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 2 Julai 2026.
Sinopsis Ringkas
Selepas pertarungan legenda Hang Tuah dan Hang Jebat, keris Taming Sari menjadi keris adat kebesaran keluarga Di Raja Perak. Namun, misteri masih menyelubungi keberadaan Keris Tempa Melaka milik Hang Tuah. Seorang mafia Rusia, John Marverick, bersama anaknya yang mahir Muay Thai, datang ke Malaysia dengan misi tersembunyi — memburu keris keramat itu. Namun, keris tersebut dijaga oleh Pak Hassan dan anaknya Daeng, seorang pendekar muda yang mewarisi semangat persilatan. Pertembungan budaya, kuasa dan keberanian pun bermula.
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
Comments
Post a Comment